Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Rhodzariah Bujang memutuskan demikian terhadap Maria Elvira Pinto Exposto, 55, selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan nenek kepada dua orang cucu itu daripada tuduhan tersebut dan menggantikannya dengan hukuman gantung.

Kes itu turut menjadi tumpuan media asing kerana Maria yang pernah bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Timor Leste, dilaporkan terjebak dengan ‘penipuan cinta internet’ dan diperdaya menjadi keldai dadah oleh seorang lelaki dikenali sebagai Kapten Danial Smith yang kononnya pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) berpangkalan di Afghanistan.

Wanita itu disabitkan melakukan kesalahan di cawangan pemeriksaan penumpang 1 (CPP1) Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Utama KLIA, Sepang, kira-kira pukul 3.40 petang, 7 Disember 2014.

Ibu kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Maria diwakili oleh barisan peguam bela diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Zain Ibrahim dan Muhammad Azmi Mashud. - UTUSAN ONLINE