Majistret Nurshahirah Abd. Salim menjatuhkan hukuman itu selepas Zaifah Mahiden, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM1,800 dari dua premis kedai serbaneka 7-Eleven.

Bagi setiap pertuduhan, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM1,750 atau penjara sebulan, selain diperintahkan menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu 16 Februari lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Nurshahirah menasihati Zaifah agar insaf dan mengambil iktibar daripada perlakuannya itu.

“Awak seharusnya faham mengenai amanah yang diberikan kepada awak. Meskipun terdapat masalah yang perlu diselesaikan sekalipun, mencuri bukanlah tindakan yang sepatutnya,” kata Nurshahirah.

Wanita yang berada di dalam kandang tertuduh sesekali dilihat mengelap air matanya ketika majistret menasihatinya.

Mengikut pertuduhan, anak bongsu daripada tiga beradik itu didakwa mencuri wang berjumlah RM3,550 milik dua 7-Eleven cawangan Mutiara Tropicana 3 dan Sunway Mas Commercial Center, di sini antara pukul 7.58 pagi dan 12.50 tengah hari, 14 Februari lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

Peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Zaifah bagaimanapun memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan tidak mampu membayar denda yang tinggi kerana sudah tidak bekerja.

Mengikut fakta kes, Zaifah sebagai pekerja yang diamanahkan untuk menjaga dua cawangan kedai serbaneka itu telah mengambil wang tersebut daripada tunai runcit (petty cash) dan dibawa keluar tanpa kebenaran majikannya.

Majikannya kemudian telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu sebelum tertuduh ditangkap dan direman selama lapan hari bagi membantu siasatan.