Bukan itu sahaja, Kamarul Bahrin Abdul Rahman, 54, telah menumbuk perut seorang penyelia wanita kedai buku itu, Chan Suet Ni, 26, sebanyak dua kali dalam usahanya untuk melepaskan diri daripada ditangkap.

Perbuatan itu bagaimanapun mengundang padah apabila tertuduh yang bekerja sebagai pembantu gerai hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali turut memerintahkan duda tersebut dipenjara sebulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Kamarul Bahrin didakwa mencuri empat naskhah buku motivasi bertajuk ‘Menantu Hipster’ dan dua buah buku keagamaan bertajuk ‘Bagaimana Menjadi Kaya Dengan Cepat Yang Diredai Allah SWT’ bernilai RM133.80 kepunyaan kedai buku Popular di Pasaraya Tesco Ampang, Jalan Pandan Prima dekat sini pada pukul 9 malam, 9 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, dia yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya menerima gaji RM800 sebulan selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi namun Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, kira-kira pukul 8.30 malam, Suet Ni ternampak Kamarul Bahrin mengambil beberapa naskhah buku dan membawanya ke hujung rak buku di dalam kedai tersebut dalam keadaan mencurigakan dan pada pukul 9 malam, tertuduh telah masuk semula ke premis itu dan mengulangi perbuatan itu.

Wanita itu bersama-sama rakan sekerjanya yang dikenali sebagai Maisarah bertindak untuk menunggu Kamarul Bahrin keluar dari pintu utama kedai dan apabila tertuduh keluar, penggera di laluan pengimbas pintu utama telah berbunyi namun tidak diendahkan oleh tertuduh.

Suet Ni dan Maisarah cuba mengekorinya namun apabila tertuduh sedar, dia telah menanggalkan kasut dan kemudian berkata “tidak ada lagi ‘sensor’ berbunyi”.

Kemudian, Suet Ni menyuruh Kamarul Bahrin masuk ke pejabat dan semasa perjalanan, lelaki itu telah mengeluarkan kesemua buku yang disembunyikan daripada dalam baju kemeja lengan pendeknya dan menyimpan semula di rak buku.

Ketika disuruh membuat bayaran, Kamarul Bahrin hanya mempunyai RM20 dan Suet Ni telah menelefon pengurus kedai buku itu namun lelaki terbabit telah menumbuk perut penyelia kedai itu sebanyak dua kali sebelum berjaya ditahan dengan bantuan seorang lelaki yang berada di dalam kedai tersebut. Tertuduh kemudian diserahkan kepada pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.