Bagi pertuduhan pertama, Shum Kok Fai, 28, didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa di Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda kira-kira pukul 12 tengah hari.

Tertuduh turut didakwa mencuri sehelai lagi pakaian dalam milik mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh yang berbadan kurus dan memakai baju lokap berwarna ungu itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret Abdul Hayyi Salim membenarkan Kok Fai diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hari ini media melaporkan penahanan seorang lelaki bersama sebuah beg di taman perumahan di Manir yang membawa kepada penemuan mengejutkan apabila mengandungi pelbagai jenis pakaian dan seluar dalam wanita. - UTUSAN ONLINE