Namun, hujung bulan lalu, Mahkamah Tinggi Singapura diberitahu Elsie Lie Lek Chee meninggal dunia di tangan lelaki yang akan dikahwini­nya itu sendiri selepas Gabriel, 37, percaya tunangnya itu telah dirasuk.

Dalam kejadian pada 30 Mac 2012, antara pukul 11.40 malam hingga 6.50 pagi keesokannya di dalam bilik sewa mereka, Gabriel cuba memenggal kepala tunangnya dengan pelbagai peralatan termasuk gunting pemangkas, gunting, pembuka tutup tin dan tukul besi.

Selepas tunangnya tidak bernyawa, lelaki tersebut yang sebelum itu telah memotong kaki kanan mangsa bertindak mencungkil kedua-dua biji mata Elsie dan melemparkannya keluar dari tingkap bilik dan perbuatan berkenaan disedari seorang paramedik yang kebetulan berada di situ atas satu tugasan lain.

Namun, itu cerita lima tahun lalu. Kini Gabriel berusia 42 dan pada 23 Februari lalu, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh tanpa niat terhadap wanita tersebut.

Lelaki itu sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh bagaimanapun dakwaan berkenaan dipinda selepas laporan psikiatri mendapati dia mempunyai masalah kecelaruan mental.

Sebaik sahaja keputusan dibacakan, ibu mangsa, Chen Yoke Mooi menangis dan berkata kepada wartawan dalam bahasa Mandarin, “Anak saya mati dengan dahsyatnya...10 tahun untuk satu nyawa, ia tidak adil.”

Mahkamah diberitahu pasangan itu mula tinggal bersama sejak Jun 2011 iaitu dua bulan selepas mereka berkenalan di laman sosial dan ketika itu Gabriel dalam proses bercerai dengan isterinya.

Pada Disember 2011, Gabriel percaya, bilik yang mereka sewa itu berhantu sehingga menyebabkan tunangnya dirasuk dan lelaki terbabit sebelum ini pernah membawa Elsie ke sebuah gereja bagi mengubati masalah kerasukannya.

Berbalik kepada kejadian itu, kira-kira pukul 6 petang, 30 Mac 2012, Gabriel memandikan Elsie di dalam bilik air dan rakan serumah mereka telah mendengar perbualan kuat pasangan itu, namun sekembalinya dia ke rumah tersebut pada pukul 8.45 malam, dia mendapati pasangan itu masih berada di dalam ruang sama.

Dalam pada itu, seorang pembantu rumah yang berada di aras atas rumah mereka turut mendengar suara seorang lelaki menjerit, “Pergi balik! pergi balik ke langit,”.

Elsie yang kelihatan pucat telah dipapah Gabriel menuju ke bilik tidur mereka dan meneruskan episod rintihan yang turut didengari jiran-jiran lain sehingga pukul 11.08 malam, dan disebabkan itu penyewa lain mengambil keputusan menghubungi pihak polis.

Selepas mendapat aduan, pada pukul 11.17 malam, dua anggota polis tiba di rumah itu dan mengetuk pintu bilik pasangan tersebut, sebaik sahaja dibuka Gabriel memberitahu berlaku sedikit pertengkaran antara mereka.

Kedua-dua anggota polis berkenaan perasan yang Elsie sedang berbaring di atas tilam dalam keadaan lemah, namun tiada kecederaan fizikal dialami mangsa yang memberitahu dia lemah akibat keguguran baru-baru ini.

Usai itu, kedua-dua penjawat awam itu pulang namun sepanjang malam, penghuni flat tersebut masih boleh mendengar rintihan, jeritan, rungutan dan raungan daripada Elsie.

Pada pukul 6.30 pagi keesokannya, salah seorang rakan serumah mereka menyedari terdapat darah di pintu bilik pasangan itu dan dia terus memberitahu seorang lagi rakannya supaya segera menghubungi polis.

Elsie kemudian ditemukan dalam keadaan separuh bogel di atas tilam dan berlumuran darah dan ketika paramedik menanti bantuan polis, Gabriel yang berbogel terus mencungkil biji mata tunangnya itu.

Pada pukul 6.55 pagi, dua anggota polis yang sama sebelum ini tiba di flat tersebut dan mereka melihat Gabriel yang tidak mengendahkan sesiapa sedang melutut di sebelah tubuh tunangnya sambil merintih dan membaca mentera serta memegang satu objek berwarna kuning berbentuk salib.

Gabriel diberkas dan polis menemukan beberapa barangan berhampiran mayat dan kawasan kejadian termasuk sudu dan garfu logam yang tersangkut di rambut Elsie, gunting pemangkas, tukul, pembuka tin, dua bilah gunting serta biji mata dan segumpal rambut.

Bedah siasat terhadap Elsie mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di kepala, leher dan anggota badan, termasuk luka kelar sepanjang 12 sentimeter di lehernya yang menyebabkan saraf tunjang wanita itu terpotong. – straitstimes.com