Hakim Zaman Mohd. Noor memutuskan demikian terhadap Samioun Shomidon, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut mengingatkan sekiranya tertuduh melanggar syarat yang ditetapkan dalam tempoh dua tahun itu, dia boleh dikenakan hukuman mengikut pertuduhan asal.

Lelaki itu turut diperintah membayar pampasan RM1,500 kepada mangsa.

Mengikut pertuduhan, Samioun didakwa cuba merompak kerani kewangan, Fazilah Md. Hiruddin, 35, dengan memulas leher untuk mengambil wang tunai RM24,000 di dalam pejabat Maksak di tingkat 3, Batu 3 1/2, Jalan Cheras di sini pada pukul 10.30 pagi, 20 Januari 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal yang mengendalikan pendakwaan dan perbicaraan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan tertuduh merupakan pegawai atasan mangsa.

Bagaimanapun, peguam, Chew Jee San yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan kerana anak guamnya telah digantung kerja lebih setahun dan hanya dibayar separuh gaji.

"Ini merupakan kesalahan pertamanya dan anak guam saya kesal dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama," katanya.

Seramai tiga saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri memberi keterangan sepanjang perbicaraan. - UTUSAN ONLINE