Rewcastle Brown yang memakai baju berwarna hitam dan berbintik putih dilihat memasuki lobi kompleks mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi sebelum terus menuju ke lif.

Bagaimanapun tujuan wanita itu hadir ke mahkamah tidak dapat dipastikan sama ada ingin mengikuti prosiding pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan perintah sekatan atau urusan lain.

Kelibat Rewcastle Brown juga tidak kelihatan di dalam atau luar mahkamah yang mendengar permohonan Najib tersebut.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar

permohonan Najib melalui peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakilinya bagi mendapatkan perintah sekatan terhadap media daripada menerbitkan perbincangan berkaitan merit dan pertuduhan yang dihadapi.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tujuh pertuduhan dikaitkan dengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd., empat tahun lalu. - UTUSAN ONLINE