Di mahkamah sama, Ketua Bahagian Pengurusan Pembangunan Kualiti Asnaf dan Ekonomi ZPP, Mohd. Wardi Ramli turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan salah guna kuasa den­gan mengesyorkan syarikat­ pem­bekal yang dia memiliki ke­pentingan.

Azman, 50, yang juga Pengurus Besar ZPP didakwa atas pertuduhan pertama iaitu menerima seutas jam tangan jenis Bonia Tesoro bernilai RM700 daripada pemilik syarikat MNI Venture, Ros Suryati Alang yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di rumahnya di Permatang Rambai, Permatang Pauh pada 2010.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima dua utas jam tangan masing-ma­sing jenis Tissot Touch bernilai RM2,000 daripada pemilik syarikat AI Global Trading, Ashri Ismail dan jenis Roscani Paris bernilai RM750 daripada pemilik syarikat Safa Murni Enterprise, Zaiyusri Ibrahim di pejabat ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam antara tahun 2011 dan 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muha­mad Nadzri mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan Azman yang diwakili peguam Mohamed Reza Rahim dibebaskan dengan jaminan RM6,000 berserta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu pengurusan kes pada 21 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Mohd. Wardi pula didakwa meng­gunakan jawatan untuk men­dapatkan suapan apabila mengesyorkan syarikat AI Global Trading untuk membekalkan barangan seperti kain cadar dan selimut bernilai RM10,240 dengan mengemukakan sebut harga kepada individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di pejabat ZPP, Bandar Perda, Bukit Mertajam pada 26 Oktober 2015.

Bagi dua pertuduhan berikut­nya, Mohd. Wardi, 35, didakwa mengesyorkan syarikat yang sa­­ma untuk membekalkan a­nak­ ayam dan dedak bernilai RM10,842, masing-masing pada 11 dan 14 November 2016 di tempat yang sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Sitarun Nisa memerintahkan Mohd. Wardi yang diwakili peguam Hadi Mulyana Citrawijaya Suyadi dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin sementara menunggu serahan dokumen pada 14 Ogos ini.