Cham Aik Tiang, 50, dan dua anak lelakinya, Cham Kiah Seng, 28, serta Cham Chin Chong, 26, dijatuhi hukuman itu selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dilakukan di sebuah rumah, Jalan PU 5/3A, Taman Puchong Utama, Puchong dekat sini kira-kira pukul 2 petang, 1 Februari lalu.

Majistret Nurshahirah Abdul Salim turut memerintahkan kesemua tertuduh yang merupakan peniaga ayam membayar pampasan RM16,000 secara tunai kepada pembantu rumah tersebut, Bunga, selepas dipersetujui oleh mangsa, kesemua tertuduh dan pihak Kedutaan Indonesia.

Mengikut pertuduhan, Aik Tiang dan Chin Chong didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Bunga dengan menggunakan senjata yang mungkin menyebabkan kecederaan iaitu kayu golf dan sebatang rotan.

Kedua-dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau sebat atau denda.


Sementara itu, Kiah Seng pula didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa sama dengan cara menolak wanita itu sehingga terjatuh dan menyebabkan kecederaan pada bahagian muka, kepala dan badan.


Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Syed Naqiuddin Shahab yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman ringan kerana kejadian tersebut telah memberi pengajaran kepada anak guamnya.


Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada kesemua tertuduh sebagai pengajaran selain pampasan seperti yang dimohon oleh pihak pendakwaan.


Mengikut fakta kes, seunit iPad milik keluarga tertuduh telah hilang dan salah seorang tertuduh bertanyakan mangsa sama ada menemui atau tidak barang tersebut.

Namun mangsa tidak memberitahu bahawa dia telah menjumpai iPad itu sebaliknya menggunakan gajet itu tanpa pengetahuan mereka yang menyebabkan kesemua tertuduh geram dan bertindak memukul mangsa. - UTUSAN ONLINE