“Pembuat CD itu tidak dipanggil memberi keterangan untuk mengemukakan CD itu sebagai barang bukti kerana Datuk S. Ambiga dan Loh Gwo Burne yang CD itu diserahkan dalam cubaan untuk CD itu dikemukakan sebagai barang bukti bukan pembuat CD itu,” kata peguam R. Thayalan yang mewakili Datuk V.K. Lingam.

Lingam yang telah dilarang menjadi pengamal undang-undang susulan rakaman kontroversinya itu pada 2007, memfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara (DB) yang mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Thayalan juga berkata, klip video itu juga telah diusik kerana suntingan telah dilakukan dan ada perkara yang telah dipadamkan daripada klip video/rakaman itu.

Peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Majlis Peguam berhujah, klip video itu tidak diusik dan Hakim Datuk Kamaludin Md. Said menetapkan 2 April ini untuk membuat keputusan terhadap usul Lingam bagi membatalkan keputusan DB itu.

Lingam memfailkan rayuan menerusi usul pemula pada 15 Disember 2015, menamakan Majlis Peguam sebagai responden, memohon mahkamah membatalkan keputusan DB pada 6 November 2015 yang mengesahkan dapatan liabiliti dibuat oleh DC yang mendapati beliau telah berpakat dengan pelbagai pihak untuk campur tangan atau mempengaruhi pelantikan hakim-hakim.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan dapatan DC dalam laporan bertarikh 20 Februari 2014 yang memutuskan beliau didapati bersalah bagi kesalahan atau mempengaruhi pelantikan hakim berhubung pelantikan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya dan pengesahan sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pada ketika itu.

Lingam juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan dapatan dan perintah mahkamah yang menolak syor-syor DC bahawa beliau digantung daripada berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama setahun dan didenda RM20,000.

Pada 20 Mei, 2008, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencadangkan beberapa syor berhubung rakaman video itu yang didakwa menyentuh tentang urusan pelantikan hakim-hakim oleh Lingam dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Eusoff Chin serta Ahmad Fairuz.

Dalam laporan itu, panel lima anggota RCI merumuskan klip video itu adalah tulen, dan Lingam ialah orang yang terlibat dalam perbualan dengan Ahmad Fairuz berhubung pelantikan hakim-hakim. - BERNAMA