Majistret Mahyudin Mohamad Som turut memerintahkan P. Jeva Sankar, 50, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Muhamad Yusof Sakban, 35, dan Mohd. Nazarwan Mohd. Sharip, 32, yang ketika itu sedang menjalankan tugas di hadapan Hotel Nest, Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi, di sini kira-kira pukul 8.15 malam, 6 April lalu.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal mengambil kira kecederaan yang dialami oleh kedua-dua mangsa.


Peguam, Taranjit Singh yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah dikenakan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan dua orang anak serta tidak mempunyai pendapatan yang tetap kerana gaji yang diterima hanya mengikut projek tempatnya bekerja.


“Tertuduh juga kesal dan tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE