Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Adnan Othman, 49, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita tersebut yang berusia 29 tahun dengan memegang betis kanan di sebuah kedai runcit, di Jalan 8/1 E, Seksyen 8 di sini kira-kira pukul 10.25 pagi, 5 Mac 2017.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Terdahulu, peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan memohon hukuman ringan berbentuk denda atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan anaknya selain tiada sebarang kecederaan fizikal yang dialami mangsa dalam kes ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee bagaimanapun memohon hukuman penjara dikenakan ke atas tertuduh sebagai mesej dan amaran kepada masyarakat bahawa kesalahan ini adalah serius dan pesalah bakal dikenakan hukuman berat.

“Mohon mahkamah mengambil kira kesan trauma yang dialami oleh mangsa iaitu berdasarkan keterangan yang diberikan semasa perbicaraan jelas menunjukkan mangsa ketakutan dan rasa seolah-olah tidak dapat dibantu,” katanya.

Mahkamah memerintahkan Adnan menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa yang sedang bekerja didatangi oleh pemandu lori tersebut yang menghantar barang dan secara tiba-tiba melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya. - UTUSAN ONLINE