Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Redzuan Zakarian, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd. Redzuan untuk menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memegang kemaluan mangsa yang ketika kejadian berusia lima tahun 11 bulan dan memasukkan tangan ke dalam seluar kanak-kanak tersebut di ruang tamu rumah tertuduh di Jalan Sungai Besi, Kampung Malaysia Tambahan di sini antara pukul 8 dan 9 malam, 9 Februari 2017.

Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan tertuduh melalui peguam yang mewakilinya, Zulhazmi Sharif untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan selesai di Mahkamah Tinggi dengan wang jaminan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM8,000.

“Denda dan wang jaminan perlu dijelaskan hari ini,” kata Zuhair.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam membantah permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman kerana tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk satu pergantungan dibenarkan.

“Saya juga memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh bagi membayar denda berkenaan dan wang jaminan dinaikkan sekiranya permohonan itu dibenarkan,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula Mac hingga Mei lalu, seramai enam saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan.

Mengikut keterangan kes, pada hari kejadian, mangsa telah pergi ke rumah tertuduh untuk mengaji bersama-sama abangnya namun selepas pulang ke rumah, mangsa telah mengadu kepada ibunya bahawa celah kelengkangnya sakit.

Ibu mangsa telah memeriksa dan mendapati terdapat kesan kemerahan pada kemaluan mangsa. Mangsa kemudian dibawa ke klinik untuk rawatan. - UTUSAN ONLINE