Tertuduh, Mohammad Amir Mohd. Layi, 21, yang merupakan bekas pelatih sebuah institusi latihan kemahiran di Marang membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim berasingan iaitu Rofiah Mohamad, Mohammad Haldar Abdul Aziz dan Azman Mustapha.

Mohammad Amir didakwa atas lapan pertuduhan mencabul kanak-kanak berusia lingkungan enam hingga 11 tahun dengan cara memegang bahu dan buah dada mangsa di dalam kawasan lapan sekolah rendah di sekitar daerah Marang dan Kuala Terengganu serta di tepi Jalan Medan Jaya, Marang.

Tertuduh juga didakwa atas tiga pertuduhan cabul dengan cara menyuruh mangsa memegang kemaluannya di tepi jalan Kampung Medan Jaya, Kampung Rhu Rendang serta tandas perempuan di sebuah sekolah rendah di Marang.

Selain itu dia didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dengan menggeselkan kemaluannya di celah dubur mangsa dan menyuruh mangsa memegang kemaluannya di belakang sebuah kuarters guru di daerah Marang.

Bagi kesemua 12 pertuduhan terbabit, Mohammad Amir didakwa Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017, Seksyen 14 (b) dan Seksyen 14 (d) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohammad Amir juga berhadapan dengan empat pertuduhan merakam aksi tersebut bagi menghasilkan pornografi kanak-kanak di lokasi berlainan iaitu di tepi Jalan Kampung Medan Jaya, Kampung Rhu Rendang serta di dalam tandas perempuan di sebuah sekolah rendah dalam daerah Marang dan sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5 akta sama yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dengan tidak kurang daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh dan ketiga-tiga hakim bersepakat menetapkan tarikh sebutan semula kes pda 22 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur Adila Mat Zaidan dan Rohaiza Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Rahdia Nik Ya. - UTUSAN ONLINE