Perkara itu dimaklumkan oleh Muhammad Shafee yang mewakili Najib selepas prosiding kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azizah Nawawi di sini dengan dihadiri peguam Harvinderjit Singh yang mewakili beliau dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Muhammad Shafee berkata, antara alasan dalam bantahan awal itu adalah terdapat permohonan bertindih berhubung isu sama yang difailkan pihak mereka.

“Bantahan awal berkenaan berdasarkan alasan berlakunya pertindihan prosiding dengan permohonan yang telah kami failkan di Mahkamah Tinggi Jenayah sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, permohonan kebenaran berkenaan difailkan olehnya dan bekas Perdana Menteri itu secara berasingan namun sebahagian alasan yang dikemukakan adalah sama.

Permohonan semakan kehakiman itu difailkan kedua-dua pemohon bulan lalu, dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwaraya, kerajaan dan Sri Ram sebagai responden pertama hingga ke tiga.

Dalam permohonan semakan itu, Najib dan Muhammad Shafee antara lain menuntut perintah mahkamah supaya menolak keputusan Peguam Negara untuk tidak mengemukakan surat pelantikan Sri Ram sebagai Ketua Timbalan Pendakwa Raya.

Mereka juga menuntut pengisytiharan bahawa surat lantikan itu ultra vires, tidak sah dan terbatal selain perintah untuk membatalkan lantikan tersebut

Selain itu, mereka menuntut perisytiharan terdapat konflik kepentingan dalam lantikan tersebut serta melarang Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes dihadapi mereka antaranya rasuah, salah guna jawatan, dan pengubahan wang haram. - UTUSAN ONLINE