Majistret Mohd. Nazrin Abdul Rahim menjatuhkan hukuman tersebut terhadap S. Sathiya, 35, yang bekerja sebagai buruh pemasangan pintu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Sathiya didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan di bahagian kepala termasuk menarik rambut bekas isterinya N. Siva Sangari, 33, di sebuah rumah pangsa di Sri Siantan di sini pada pukul 9 malam, 21 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Sathiya yang tidak diwakili peguam meminta agar hukuman penjara terhadapnya diringankan kerana terpaksa menanggung seorang anak berusia enam bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Intan Liyana Zainal Abidin mencadangkan kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialami mangsa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mohd. Nazrin memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 29 November lalu. - UTUSAN ONLINE