Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab. Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohamad Zulkifli Ismail, 52, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dituduh membunuh seorang pencari besi buruk, Zulkefle Abdullah, 40, di pada pukul 10.30 pagi, 7 Disember 2015.

Mohamad Zulkifli juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap rakan mangsa, Faizul Awang, 33, dengan menggunakan sebilah parang di tempat dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dihukuman mati mandatori bagi pertuduhan pertama sementara bagi pertuduhan kedua, diperintah menjalani hukuman penjara 14 tahun dari tarikh tangkap.

Zainal Azman ketika membacakan penghakimannya berkata, berdasarkan keterangan seramai 24 saksi pendakwaan dan tertuduh sendiri, beliau dapati Mohamad Zulkifli bukanlah mangsa dalam kes tersebut walaupun timbul dakwaan bahawa kedua-dua mangsa cuba merompak tertuduh.

Selain itu, Zainal Azman berkata, tertuduh telah menyerang kedua-dua mangsa tanpa ada sebarang provokasi, dan sekiranya tertuduh berasa terancam dia sepatutnya bertindak menghubungi polis atau meminta bantuan orang ramai berikutan kawasan rumahnya berhampiran jalan utama.

Katanya, mahkamah mendapati tikaman terhadap kedua-dua mangsa bukanlah sesuatu perbuatan yang tidak disengajakan untuk mempertahankan diri kerana saksi menyatakan tiada pergelutan atau pergaduhan yang berlaku sebelum itu.

“Kita jangan sesekali mengambil undang-undang sendiri. Kalau kita berasa marah sekali pun, apa yang patut dibuat adalah memanggil polis.

“Biar pihak polis yang uruskan kerana kita ada proses tersebut, belum tentu orang yang dituduh itu bersalah. Biar mahkamah yang tentukan, jangan kita yang jatuhkan hukuman,” ujar Zainal Azman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Syazwani Zawawi manakala tertuduh pula diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussien dan Azizzul Shariman Mat

Yusoff.-UTUSAN ONLINE