Mohamad Fairul Mohamad Ramzi, 33, dan anaknya, Agung Ishmael selaku plaintif pertama dan kedua memfailkan saman tersebut di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini semalam dan salinan dokumen tersebut diperoleh pihak media hari ini.

Kedua-dua plaintif menamakan sebuah sekolah swasta di Setapak sebagai defendan pertama dan wanita tersebut yang merupakan guru ganti defendan kedua.

Menurut penyataan tuntutan, Agung Ishmael mula bersekolah di tempat kejadian pada Ogos 2014 dan antara perjanjian kemasukan ke sekolah tersebut, defendan pertama bersetuju untuk memastikan kakitangannya atau ejen akan berhati-hati, berusaha dan menggunakan kemahiran masing-masing untuk menjaga kesihatan dan kebajikan murid sepanjang sesi pembelajaran.

Bagaimanapun, pada 1 Jun lalu, Agung Ishmael telah digigit di pipi serta ditendang di bahagian punggung oleh seorang rakan sekelasnya dan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sepanjang kejadian itu defendan kedua dilihat berada tidak jauh daripada anaknya.

Mohamad Fairul mendakwa, cikgu terbabit tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengawal kelas tersebut malah turut tidak membawa anaknya yang telah mengalami kecederaan untuk mendapatkan rawatan.

Plaintif pertama telah membuat laporan polis berhubung insiden itu dan kecuaian pihak defendan namun pada 8 Julai lalu, Mohamad Fairul dimaklumkan anaknya telah digantung sekolah selama lima hari oleh defendan pertama atas alasan bergaduh dan menga­kibatkan kecederaan kepada murid lain tanpa kedua-dua plaintif diberi peluang untuk membela diri atau memberi penjelasan.