Kesemua tertuduh yang berusia 17 tahun ketika kejadian itu turut diarah menghadiri bengkel interaktif anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Abdul Hayyi Salim memutuskan demikian selepas mereka mengaku bersalah atas lima pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaaan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik dan luar surau kolej berkenaan antara pukul 9 malam hingga 10.30 malam pada 7 Ogos tahun lalu dan antara pukul 1.35 pagi hingga 3.40 pagi, keesokannya.

Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara hingga setahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Dalam insiden tersebut, Muhammad Luqman Hakim Mohd. Shukri mendakwa dibelasah 15 pelajar sebanyak dua kali dalam satu malam iaitu pada pukul 9.30 malam ketika di surau, disusuli sejam selepas itu semasa di asrama ekoran pertengkaran mulut.

Ahmad Zikrill Azim Hasbullah pula mendakwa dia bersama rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria dibelasah 20 pelajar lain sebelum mereka dipaksa bertumbuk sesama sendiri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah. - UTUSAN ONLINE