Ekoran daripada penarikan balik perintah pengharaman yang dibuat semalam, maka Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan supaya ganti rugi yang berhak diterima oleh Zunar kerana kerugian dialami disebabkan tidak dapat menjual buku sepanjang tempoh tersebut untuk ditaksirkan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi sehubungan itu memerintahkan supaya taksiran ganti rugi dibuat oleh Timbalan Pendaftar mahkamah itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Perkara itu dimaklumkan kepada pihak media oleh peguam N. Surendran yang mewakili Zunar.

Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwarul Haque memfailkan permohonan tersebut pada Januari lalu bagi mencabar pengharaman buku kartun tersebut yang berkuat kuasa pada 3 Oktober tahun lalu.

Beliau juga memohon supaya mahkamah mengisytiharkan perintah dan warta itu sebagai tidak sah, salah dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana menyalahi Seksyen 7 Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 (PPPA) serta melanggar Perkara 5 (Kebebasan Individu) dan Perkara 8 (hak kesamarataan) dan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Zunar memohon ganti rugi am dan khusus berikutan pengharaman itu.

Dalam afidavit sokongannya, Zunar, 55, menyatakan, beliau telah melancarkan buku baharunya yang bertemakan isu-isu politik semasa di Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor pada 13 September 2015.

Karya tersebut merupakan himpunan karikatur keadaan politik semasa sejak 2015 yang dikumpul daripada Facebook beliau dan penerbitan lainnya.

Menurut Zunar, buku tersebut telah dijual di pasaran selama dua tahun sebelum perintah pengharaman itu dikuatkuasakan dan berasa terkejut kerana responden tidak menunjukkan sebarang bukti penerbitan bukunya dapat menggugat ketenteraman awam. -UTUSAN ONLINE