Panel tiga hakim bersidang diketuai Datuk Rohana Yusuf menolak rayuan Mat Sabu atas alasan rayuan pihak perayu itu tiada merit.

UMMB diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid dan Nor Emelia Iszeham.

Pada 2 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman tersebut dengan kos RM70,000 perlu dibayar oleh Mohamad atau Mat Sabu selaku plaintif terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak yang dinamakan sebagai defendan pertama dan UMMB defendan kedua.

Mat Sabu, 63, memfailkan saman itu pada 21 Disember 2011 kerana mendakwa defendan menyiarkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Ketiga-tiga artikel itu dikeluarkan selepas Mat Sabu menyampaikan ceramah di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah Pas Padang Manora, Tasek Gelugor dekat sini pada 21 Ogos 2011.

Artikel itu membabitkan laporan muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk ‘Mohamad Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong ‘ dan dua artikel lagi pada keesokannya bertajuk ‘Mat Sabu dikecam’ dan ‘Kenyataan Mat Sabu dibidas’. - UTUSAN ONLINE