MAT TEN
MAT TEN 

Saksi pertama pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Lans Koperal Mat Ten berkata, beliau bersama seorang lagi anggota polis, Koperal Yusuf Islam Hasan ketika itu sedang melakukan rondaan pada awal pagi 19 Januari 2015.

Menurutnya, penemuan awal itu telah menyebabnya beliau bersama rakan sekerjanya pergi ke hulu sungai untuk menjejaki punca buih tersebut.

“Setibanya di situ, saya ternampak seorang perempuan sedang membasuh pakaian dan jaraknya sangat dekat dengan kami yang berada di belakangnya.

“Selepas wanita itu beredar, kami mengekorinya dan nampak seorang lelaki sedang berbaring di kawasan tersebut dan juga melihat wujudnya binaan kayu terdiri empat menara meninjau dan sebuah kedai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali RCI, Khairul Anuar Abd Halim.

Menurut Mat lagi, beliau kemudian memaklumkan hasil penemuan itu kerana mengesyaki wujudnya tempat proses dadah kepada seorang pegawai atasan yang dikenali sebagai Asisten Superintenden Joking.

Katanya, sekitar pukul 12 tengah hari, Joking telah mengarahkan satu pasukan yang terdiri daripada 10 anggota untuk pergi melakukan tinjauan ke lokasi itu.

“Sebaik sahaja menghampiri kawasan itu, saya ternampak wanita yang sama sambil memegang telefon.

“Tiba-tiba saya terdengar telefon berbunyi seperti mesej masuk dan wanita itu dilihat gelisah selepas membaca mesej itu dan kemudian dia menjerit ‘polis datang’,” katanya.

Katanya, tindakan itu telah menyebabkan sekumpulan manusia berlari bertempiran dan tinggal enam orang berada dalam satu pondok berkunci.

Prosiding yang berlangsung di hadapan Pengerusi RCI, Tun Arifin Zakaria akan bersambung semula pada pukul 2.30 petang ini. - UTUSAN ONLINE