Hakim Azrul Darus memutuskan demikian terhadap Khairul Izaini Khairuddin, 31, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah selepas lelaki itu yang tidak bekerja memaklumkan bahawa dia pernah menjalani rawatan kesihatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Tertuduh turut mendakwa dia turut dibekalkan dengan ubat-ubatan selain telah menghidap penyakit skizofrenia sejak kecil lagi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim berusia tiga tahun empat bulan, telah didapati melakukan penderaan terhadap kanak-kanak tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lorong Permai 2, Kampung Indah Permai dan sebuah rumah di Taman Ampang Saujana, Jalan Persiaran Saujana, di sini antara Ogos 2017 sehingga November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu kesemua laporan perubatan mangsa dan laporan status kesihatan mental tertuduh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta sama ada layak dibicarakan atau tidak. - UTUSAN ONLINE