Perintah reman­ sehingga 16 Ogos ini dikeluarkan oleh­ Penolong Pendaf­tar, Ameera Mastura Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Bagaimanapun, prosiding ber­kenaan 'terganggu' apabila Ramkarpal Singh yang mewakili Boon Poh memohon perintah reman berkenaan ditangguhkan dengan menuntut supaya ia dikeluarkan oleh majistret, selain menyatakan akan memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan berkenaan.

Boon Poh, 66, akan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 bersama dua lagi individu, Gan Buck Hoe, 70 serta anaknya, Edmund Gan Eu Lee, 37, yang dipercayai pemilik dan pengurus kilang ber­kenaan.

Terdahulu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri tiba di pekarangan mahkamah menaiki kereta pacuan empat roda pukul 10.10 pagi dan disambut lebih 30 orang penyokongnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang semalam ketika hadir memberi ke­terangan di Ibu pejabat SPRM negeri, Jalan Sultan Ahmad Shah.

Kelmarin, SPRM bersama be­berapa agensi kerajaan lain menjalankan operasi di sebuah kilang memproses habuk kayu yang didakwa penduduk dan ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin mencemarkan alam sekitar.

Utusan Malaysia sebelum ini dalam laporan eksklusifnya mendedahkan kewujudan kilang berkenaan dipercayai beroperasi tanpa lesen serta didakwa kebal daripada sebatang tindakan pe­nguatkuasaan kerana dilindungi pihak tertentu.