Tertuduh, Leong Lai Keong, 52, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, Lai Keong didakwa telah mendorong seorang perempuan berusia 40 tahun 11 bulan untuk merelakan dirinya dirogol kerana sekiranya tidak mengikut kehendak itu, mangsa dan keluar­ganya akan ditimpa bencana.

Lai Keong didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.30 pagi, 22 Jun lalu, di Bilik 101, di sebuah hotel di sini.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa mela­kukan perbuatan serupa di sebuah tokong buatan di Tingkat 1, Bangunan Kedai di Jalan Kebun Sultan, pada pukul 6.30 pagi, keesokan harinya dan pukul 6.30 pagi, 29 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 375(C) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan Lai Keong yang tidak diwakili peguam, menjalani pemeriksaan perubatan bagi memastikan tahap kesihatannya dan menetapkan 16 Ogos ini bagi sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang suri rumah yang mahu mengubati penyakit ‘buatan orang’ menjadi mangsa rogol ketika mendapat khidmat rawatan seorang bomoh dalam tiga kejadian di negeri ini.

Mangsa yang berusia 40 tahun dan telah bersuami mendakwa dirinya dirogol tiga kali oleh bomoh dikenali dengan panggilan ‘Ah Keong’ di sebuah hotel bajet, tokong di sebuah rumah kedai.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, mang­sa mengenali bomoh bera­sal dari Kedah itu pada awal Mei lalu, sebelum dia menjalani rawatan pertama di sebuah chalet di Pantai Cahaya Bulan di sini dengan upacara mandi bunga bagi membuang masalahnya yang didakwa suka meracau selepas terkena ‘buatan orang’.