Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin memutuskan demikian selepas mendapati keterangan Muhammad Safwan Anang, 29, Ekhsan Bukharee Badarul Hisham, 27, Adam Adli Abd. Halim, 30, Mohd. Bukhairy Mohamed Sofian, 28, dan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, 38, berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, semua orang kena saman (OKS) itu didakwa menyertai perhimpunan yang diadakan di tempat larangan iaitu di pekarangan Masjid Ar-Rahman Universiti Malaya antara pukul 12 tengah hari dan pukul 1.15 petang, 22 Jun 2013.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(b) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000.

Pendakwaan dan perbicaraan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurulhuda Nuraini Mohd. Nor manakala semua OKS diwakili oleh peguam-peguam Eric Paulsen dan A. Jeyaseelen.

Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak 11 Disember 2013, pendakwaan telah memanggil lima saksi manakala pihak pembelaan mengemukakan lima saksi iaitu OKS sendiri. -UTUSAN ONLINE