Peguam Ong Chee Kwan bersama barisan peguam yang menuntut hak bagi kerajaan ke atas Equanimity memberitahu pemberita, perkara berbangkit itu dapat diselesaikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris bagi mendapatkan arahan mahkamah berhubung penjualan aset tersebut, iklan dan proses membida.

Menurut Chee Kwan, iklan penjualan kapal juga akan disiarkan mulai esok dalam akhbar tempatan mahupun antarabangsa.

Proses membida Equanimity akan bermula Isnin ini dan berakhir 28 November ini.

Bagi bakal pembeli yang benar-benar layak, mereka perlu menyediakan wang pendahuluan sebanyak AS$1 juta (RM4.18 juta).

Menurut peguam itu, akhir Disember ini kapal mewah yang dikatakan milik ahli perniagaan, Jho Low bernilai AS$250 juta (RM1 bilion), mungkin bukan lagi milik Malaysia.

Beliau berkata, pembeli yang benar-benar layak boleh menjalankan pemeriksaan untuk melihat keadaan kapal dan akan diberikan borang tawaran pembelian sebelum proses bidaan dalam talian bermula.

Pada 17 Ogos lalu, kerajaan bersama Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah memfailkan saman pemula untuk mendapatkan perisytiharan bahawa syarikat pelaburan itu adalah pemilik Equanimity yang sah sebelum menjual aset yang dikatakan milik Jho Low.

Dalam saman pemula itu, Kumpulan 1MDB bersama dua syarikat subsidiarinya, 1MDB Global Investment Limited dan 1MDB Energy Holdings Li­mited serta kerajaan selaku pihak plaintif menamakan pemilik kapal, Vesel Equanimity dari Kepulauan Cayman sebagai defendan tunggal.

Pihak plaintif menuntut lima perintah antaranya perisytiharan bahawa Kumpulan 1MDB adalah pemilik sah atau benefisiari kapal tersebut dan/atau pemilik separa Equanimity berdasarkan pembahagian saham masing-masing di dalamnya.

Pihak plaintif selain itu menuntut suatu perintah untuk menjual Equanimity serta perintah pengagihan hasil jualan harta tersebut kepada Kumpulan 1MDB berdasarkan setakat mana hak milik mereka dalam kapal berkenaan, kos dan perintah lain yang sesuai.

Pada 19 Oktober lalu, mah­kamah tersebut mengisytiharkan bahawa kerajaan dan Kumpulan 1MDB adalah pemilik benifisiari Equanimity.