Pada tarikh tersebut, sesi soal balas terhadap Mohamad Salleh yang terhenti sebelum ini akan diteruskan.

Hakim Datuk Su Geok Yiam menetapkan tarikh tersebut selepas peguam Jeffrey John mewakili kesemua plaintif memaklumkan bahawa permohonan pihaknya bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang mengetepikan tuntutan ganti rugi khas sebanyak RM1 bilion telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan Isnin lalu.

Mahkamah turut menetapkan 17 Oktober ini untuk pengurusan kes bagi tujuan mengemas kini beberapa dokumen seperti senarai saksi dan soalan yang akan dikemukakan dalam perbicaraan kelak. Turut hadir pada sebutan kes itu hari ini ialah peguam, Poh Choo Hoe yang mewakili bank berkenaan yang dinamakan sebagai defendan.

Pada 22 Mei 2012, plaintif, NFCorp, tiga anak syarikatnya, National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd. serta Mohamad Salleh memfailkan saman terhadap Public Bank berhubung pelanggaran kontrak untuk melindungi maklumat sulit akaun bank mereka.

Plaintif mendakwa reputasi dan kredibiliti perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) itu dan maklumat yang dibocorkan itu telah digunakan oleh calon Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli untuk menyokong dakwaan bahawa plaintif telah mempengaruhi pinjaman kerajaan untuk membeli lapan hartanah KL Eco City. - UTUSAN ONLINE