Peguam Vishu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika ditemui pemberita berkata tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim ketika pengurusan kes berkenaan di kamarnya hari ini.

Peguam itu berkata perbicaraan ditetapkan dari 25 hingga 29 November ini dan sembilan saksi dijangka dipanggil untuk memberi keterangan termasuk Sultanah Nur Zahirah serta Rewcastle Brown.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam Americk Singh Sidhu yang bertindak bagi pihak Rewcastle Brown dan dua defendan lain.

Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman itu pada 21 Nov tahun lepas dengan menamakan Rewcastle Brown atau nama sebenar Clare Louis Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin, serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam penyataan tuntutan, Sultanah Nur Zahirah mendakwa Rewcastle Brown mengeluarkan kenyataan dalam buku itu sekitar Ogos tahun lepas dan buku berkenaan dicetak oleh Vinlin Press.

Dakwa Sultanah Nur Zahirah, kenyataan fitnah itu membawa maksud bahawa plaintif terlibat dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran negeri Terengganu serta menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) dan menolong Jho Low, atau nama sebenar Low Taek Jho, bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat di TIA.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan dan menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu serta memohon defendan ketiga menghenti pencetakan lanjut salinan buku berkenaan.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah. - BERNAMA