LIM GUAN ENG

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud dan peguam Gobind Singh Deo dan RSN Rayer mewakili Guan Eng serta Datuk V. Sithambaram dan Hisyam Teh Poh Teik bertindak bagi pihak Li Koon.

Terdahulu, Masri memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

“Kita sedia maklum kes ini tertangguh sebab menunggu keputusan di mahkamah. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan Seksyen 62 tidak bercanggah de­ngan perlembagaan.

“Pada hari ini juga kami ingin mengemukakan pertuduhan pindahan terhadap kedua-dua tertuduh. Memandangkan ke­dua-dua tertuduh tidak hadir di mahkamah hari ini, kami akan mengemukakan pertuduhan pindaan ini sebelum perbicaraan bermula,” katanya.

Masri turut mencadangkan kepada mahkamah supaya perbicaraan kes itu bermula pada Februari dan pihaknya dijangka memanggil 40 saksi pendakwaan.

Bagaimanapun Gobind memohon kepada mahkamah agar perbicaraan dijalankan pada bulan Mac berikutan beliau ada kes lain pada Februari, termasuk kes di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

PULAU PINANG MAC 2016 - Phang Li Koon yang merupakam pemilik rumah
Phang Li Koon

Hakim Hadhariah menetapkan 26 Mac hingga 30 Mac bagi perbicaraan kes tersebut; diikuti 9 hingga 12 April; 23 April hingga 27 April; 7 Mei hingga 10 Mei; dan 21 Mei hingga 25 Mei.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 62 adalah mengikut perlembagaan sete­rusnya mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bahawa seksyen itu yang dibaca bersama-sama Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, adalah ulta vires (melampaui batasan undang-undang) terhadap Perkara 5(1), dibaca bersama-sama Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Panel lima hakim diketuai Ke­tua Hakim Negara, Tun Raus Sharif membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan SPRM terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengubah keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang berkaitan Seksyen 62, yang memerlukan tertuduh mengemukakan kenyataan pembelaan kepada pihak pendakwa sebelum bermulanya perbicaraan.

Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Guan Eng dan Li Koon ter­hadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan mereka untuk mengisytiharkan Seksyen 62 tidak mengikut perlembagaan dan mengubah keputusan itu.

Pada 30 Jun 2016, Guan Eng mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ra­suah berkaitan penukaran status tanah daripada pertanian kepada tempat kediaman dan pembelian satu lot tanah serta banglo pada harga bawah nilai pasaran.

Guan Eng, 58, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk mendapatkan keuntungan bagi diri sendiri dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan bagi menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam di barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn. Bhd.

Beliau dituduh melakukan ke­salahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pe­rancangan Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Aras 28, Bangunan Komtar di sini pada 18 Julai, 2014 mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Guan Eng juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No. 25, Jalan Pinhorn, di sini pada 28 Julai, 2015 daripada Li Koon pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Li Koon mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Guan Eng dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar. – BERNAMA