Bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad, 57, dan bekas Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik, Muhammad Sufi Mahbub, 53, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana Felda telah melakukan pecah amanah dengan melupus dan meluluskan pembayaran RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Kelulusan itu dibuat menerusi perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan I2C Hassed (M) Sdn. Bhd., melalui Felda Caviartive Sdn. Bhd.

Pertuduhan terhadap bapa tiga anak itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Faizoull pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan tersebut dan pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 109 kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa.

Kesemua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala peguam-peguam Mohd. Irwan Mohd. Mubarak mewakili Muhammad Sufi serta Azad Bashir mewakili Faizoull.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1 juta de­ngan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu mereka perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

“Kedua-dua tertuduh dibenarkan membayar deposit RM500,000 pada hari ini untuk jaminan berkenaan manakala bakinya RM500,000 dilunaskan pada atau sebelum 22 Mac ini. Mahkamah juga membenarkan jaminan menerusi geran tanah dengan nilai setara,” katanya.