Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Beri rasuah RM300 
didenda RM10,000

How Ah Lai dipenjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah
How Ah Lai dipenjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, Putrajaya semalam selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM300 kepada pegawai SPRM berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram di tanah rizab kerajaan di Putrajaya. Utusan/WAHIDAH ZAINAL

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Seorang pemandu lori sayur terpaksa menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 hari ini di sebalik tirai besi apabila dia dihukum penjara seminggu dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memberi rasuah kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung aktiviti perlombongan pasir secara haram di tanah rizab kerajaan, di Putrajaya, tahun lalu.

How Ah Lai, 45, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd. Zaki Johari, 34, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan sebuah lori yang membawa muatan pasir keluar dari kawasan perlombongan di Presint 20, Put­rajaya, kepada pihak berkuasa.

Bekas penyelia tapak lombong haram itu yang mengaku tidak bersalah ketika pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 4 April lalu, didakwa melakukan kesalahan tersebut di tapak perlombongan Presint 20, Putrajaya, antara pukul 1 petang dan 1.30 petang, 11 Februari tahun lalu.

Bapa tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hakim Madihah Harullah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tersebut berkuat kuasa hari ini dan boleh dipenjara lapan bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nurdihana Rosdi sebelum itu memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira faktor kepentingan awam supaya masyarakat tidak mengulangi kesilapan sama.

Peguam, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Ah Lai pula memohon hukuman ringan atas alasan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya selain insaf dan memohon diberikan satu lagi peluang untuk tertuduh.

“Hari ini merupakan hari lahir tertuduh, saya memohon hukuman penjara dan denda minimum dikenakan terhadapnya,” kata peguam itu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, satu operasi bersama Pejabat Tanah dan Galian bersama SPRM telah dijalankan di Tapak Perlombongan Pasir Presint 20, Putrajaya. Maklumat mengatakan tertuduh telah meneroka secara haram tanah milik kerajaan tanpa permit sah.

Hasil pemeriksaan mendapati, tertuduh mengakui dia adalah pemilik lori itu dan menawarkan RM300 kepada pegawai tersebut bagi melepaskan lori pasir yang te­lah ditahan dan tidak mengganggu perlombongan yang dijalankan.

Sementara itu, ketika beberapa jurugambar dan juruvideo sedang merakam gambar tertuduh, dia cuba menendang mereka untuk menghalang daripada gambarnya diambil semasa dia dibawa keluar dari mahkamah oleh anggota polis.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain