Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki menjatuhkan hukuman tersebut terhadap S. Yogeswary, 38, selepas wanita itu didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 11 pagi, 27 September tahun lalu di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di sini ketika dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-37.

Mahkamah yang turut memerintahkan Yogeswary membayar kos pendakwaan sebanyak RM1,500, bagaima­napun membenarkan permohonan tertuduh yang diwakili peguam J. Jayarubbiny untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM13,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.

Selain itu, tertuduh perlu memfailkan notis rayuan pada atau sebelum 30 November ini.

Ibu tunggal anak satu itu dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah pada 30 September 2016 terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Keterangan palsu yang diberikan atau direka tertuduh itu membabitkan penjagaan dan kawalan kereta Mitsubishi Triton yang digunakan untuk me­langgar belakang kereta Kevin Morais pada hari kehilangannya dan tempoh dia mengenali seorang lelaki bernama Selvam yang pernah meminjamkannya wang sebanyak RM4,000.

Terdahulu, Jayarubbiny memohon anak guamnya itu dikenakan hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertama tertuduh yang mempunyai anak perempuan yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Izzat Fauzan memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira perbuatan tertuduh memberi keterangan palsu secara langsung menyukarkan dan menghalang pihak pendakwaan untuk menggunakan keterangan-keterangan sedia ada bagi menyokong kes berprofil tinggi itu.

“Tindakan tertuduh de­ngan memberi keterangan palsu seolah-olah cuba melindungi tertuduh lain dalam kes pembunuhan itu,” katanya.

Sebanyak enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil untuk memberi kete­rangan sepanjang perbicaraan.

Yogeswary menjadi saksi pendakwaan dalam perbi­caraan kes bunuh Kevin Morais yang melibatkan enam tertuduh iaitu Pakar Patologi tentera, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 54, serta empat pe­nganggur R. Dinishwaran, 25, A.K. Thinesh Kumar, 24, M. Vishwanath, 27, S. Nimalan, 24, dan pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandaran, 46.