Tertuduh, Wan Fatihah Nadzrin, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru. 

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan menggunakan kod pin dari mesin MOLPay bagi pembelian barangan peribadi di atas talian tanpa pengetahuan majikan. 

Tertuduh yang merupakan Pengurus Cawangan Kedai 7-Eleven Kuala Kangsar ketika itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Kedai 7-Eleven, No. 6, GF Persiaran Kuala Kangsar dekat sini pada 26 Mei, 14, 19 dan 21 Julai 2017. 

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 14 tahun dan denda dan sebatan jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md. Yusof manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zaim Zhafri Azhar.

Muhammad Fauzi mencadangkan wang jaminan RM56,000 bagi kesemua pertuduhan itu dengan alasan kesalahan dilakukan tertuduh itu serius selain membabitkan kerugian besar terhadap syarikat kedai serbaneka berkenaan. 

Dalam rayuan terhadap anak guamnya, Zaim Zhafri memohon wang jaminan tersebut dikurangkan kerana tertuduh menanggung seorang ibu yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi manakala suaminya sedang mencari pekerjaan selepas berhenti kerja sebagai pemandu lori.

Indra Nehru kemudiannya membnarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan. Sehingga tengah hari ini, tertuduh belum membayar wang jaminan berkenaan. 

Mahkamah menetapkan 18 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE