Perintah tamat reman itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md. Ruslan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seba­nyak RM100,000 dengan dua orang penjamin selain pasport diserahkan kepada SPRM.

Sebelum ini suspek direman selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Januari sebelum tempoh reman dilanjutkan selama dua hari lagi dan berakhir hari ini. Terdahulu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.15 pagi.

Pada Selasa lalu, suspek berumur 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.35 petang di ibu pejabat SPRM selepas hadir memberi keterangan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

Sementara itu katanya, selain suspek, beberapa lagi individu sedang dikesan SPRM bagi membantu siasatan bagi kes yang sama.