Demikian nasihat seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua tahun, sebatan dua kali dan denda RM20,000 terhadap seorang bekas pengurus akaun dan pentadbiran sebuah hotel atas kesalahan melakukan pecah amanah lebih RM170,000, dua tahun lalu.


Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut selepas Lee Hooi Keng, 44, mengaku bersalah atas pertuduhan sebagai pengurus akaun dan pentadbiran Hotel Everly, yang diuruskan oleh Indah Putrajaya Sdn. Bhd., telah melakukan pecah amanah terhadap harta syarikat berjumlah RM176,783.65.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Everly, Jalan Alamanda 2, Presint 1, Putrajaya antara 16 Mac 2016 dan 16 Mei 2016.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat serta denda.


Mahkamah memerintahkan bapa tiga cahaya mata itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh tangkap 19 Julai lalu dan tempoh dia dipenjarakan boleh ditambah enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Terdahulu, Zainal Abidin sempat bertanya kepada tertuduh mengapa dia melakukan kesalahan tersebut.

Hooi Keng memberitahu, dia terdesak dan silap langkah dengan mengambil wang tersebut disebabkan perlu membayar hutang kepada ah long yang dipinjamnya bagi memulakan perniagaannya.


Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne pula memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain kerap terjadi.


“Tertuduh merupakan orang yang berpelajaran dan seharusnya tahu membezakan baik dan buruk sebelum kesalahan ini. Sepatutnya tertuduh perlu menjadi orang yang amanah walaupun dalam apa jua keadaan kerana wang yang diambil bukannya sedikit,” katanya.


Hooi Keng yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan menyesal akan perbuatannya serta tidak akan tamak dalam perniagaan lagi.


“Ini adalah kesalahan pertama saya, saya memohon maaf kepada bos, keluarga dan isteri saya. Disebabkan kesalahan ini mereka terpaksa menanggungnya,” katanya sambil menangis teresak-esak.


Mengikut fakta kes, majikan tertuduh telah membuat laporan polis selepas pihaknya mendapati terdapat empat pembayaran melalui cek berjumlah RM176,783.65 kepada syarikat pembekal yang tiada urusan dengan pihak hotel.


Jumlah bayaran itu telah dimasukkan ke dalam dua akaun syarikat iaitu syarikat Vision Excel Ten Enterprise dan Trend Access Sdn. Bhd., sedangkan pemilik bagi syarikat-syarikat itu adalah tertuduh dan isterinya.