Tertuduh, Ihsham Shah Chandran Abdullah, 60, membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad. 

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengemukakan sebanyak 104 tuntutan palsu yang dianggarkan berjumlah RM2.2 juta sedangkan program-program yang dikaitkan dengan anak syarikat milik kerajaan negeri itu sebenarnya tidak wujud. 

Tertuduh turut berdepan 34 pertuduhan melibatkan salah laku rasuah kerana didakwa menerima suapan berjumlah RM500,000. Perbuatan itu dilakukan antara tahun 2014 hingga 2017 membabitkan dua lokasi berbeza di Kemaman, Terengganu dan Batu Gajah, Perak. 

Ihsham Shah didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seskyen 17 (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Putrajaya, Amira Sariaty Zainal manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar. 

Rofiah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 November depan untuk sebutan semula kes. 

Tertuduh yang ditemani isteri serta anak perempuannya membayar wang jaminan tersebut. - UTUSAN ONLINE