Tertuduh, Amirul Redzuan Sharudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh yang diwakili peguam, Norlida Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak mengedar baja subsidi hak Kerajaan Malaysia kepada tiga pengusaha sawah berlainan masing-masing bernilai RM62,046, RM13,567 dan RM5,296.

Tertuduh didakwa tidak mengagihkan semua baja tersebut masing-masing 1,068 beg baja sebatian, baja urea (417) dan 650 beg baja NPK bagi musim 1/2014 dan 2/2014 kepada ketiga-tiga petani tersebut antara Februari hingga Disember 2014 di pejabatnya di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput Utara dekat sini.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), K. Kumuthambal mengemukakan pertuduhan itu terhadap Amirul Redzuan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE