KHAIRUDDIN KHALID
KHAIRUDDIN KHALID

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun serta denda RM458,325 bagi tuduhan pertama menerima rasuah melebihi RM91,000.

Beliau yang bersidang bersa­ma Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Dr. Badariah Sahamid turut membenarkan rayuan balas pendakwa raya terhadap tiga lagi tuduhan menerima rasuah hampir RM500,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad merayu keputu­san­ Mahkamah Tinggi yang me­ngetepikan hukuman penjara lima tahun dan denda hampir RM2.05 juta bagi ketiga-tiga tuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Se­syen.

Jika gagal membayar denda ber­jumlah hampir RM2.51 juta, Khairuddin, 58, yang kini tidak bekerja, berdepan hukuman penjara 32 bulan lagi bagi keempat-empat kesalahan.

Kuorum berkenaan sebulat suara berpuas hati wujud ketera­ngan yang mencukupi bagi mensabitkan Khairuddin terhadap keempat-empat tuduhan.

Sehubungan itu, panel tersebut berpendapat, sabitan adalah selamat untuk dikekalkan kerana Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang mensabitkannya bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tuduhan pertama, dia dipenjara lima tahun dan denda RM458,325 atau penjara enam bulan, manakala tuduhan kedua, penjara lima tahun dan denda RM625,000 atau penjara enam bulan.

Tuduhan ketiga (penjara lima tahun dan denda RM1.01 juta atau penjara 10 bulan) dan tuduhan keempat (penjara lima tahun dan denda RM416,686.88 atau penjara 10 bulan).

Mahkamah memerintahkan hu­kuman penjara berkuat kuasa serentak bermula hari ini.

Wajah Khairuddin kelihatan berubah ketika keputusan di­umumkan, ma­nakala bebe­rapa ahli keluarga yang hadir men­dengar rayuan itu dilihat sebak ketika dia dibawa ke lokap mahkamah.

Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) itu diwakili oleh peguam-peguam Datuk Shaharudin Ali dan Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.

Shaharudin memberitahu pemberita, setakat ini beliau tidak dimaklumkan oleh anak guamnya sama ada denda akan dijelaskan atau sebaliknya.

Khairuddin disabitkan atas empat tuduhan memperoleh ra­suah untuk dirinya melalui empat keping cek semuanya bernilai RM985,248 daripada Pengerusi Eksekutif Corporate Eight Asset Management Sdn. Bhd., Muhammad Khalid Ismail.

Daripada jumlah itu, perayu di­sabitkan menerima RM502,002.37 sebagai upah kerana melaburkan dana pelaburan MIMOS bernilai RM5.5 juta dengan syarikat pe­laburan berkenaan.

Dia melakukan kesalahan itu di pejabat Corporate Eight Asset Management, Suite 17.3-17.4A, Tingkat 17, Menara Weld, 76, Jalan Raja Chulan di ibu negara, pada 23 Mei 2001.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama dengan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.