Hakim Zanor Rashid Hussain menjatuhkan hukuman itu ke atas Hassin Mad Zin, 55, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Hassin juga berdepan hukuman penjara tambahan 35 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa menerima wang suapan RM9,000 daripada pemilik perniagaan WH Awana Enterprise, Wan Helmi Wan Darus melalui akaun Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) di Bank Islam Cawangan Alor Setar di sini kira-kira pukul 1.38 petang, 6 Ogos 2014.

Hassin yang merupakan bekas Pengurus Bahagian Perhubungan Petani dan Pelanggan Bernas didakwa menerima suapan itu selepas mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 30 tan metrik daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Julai 2014.

Pertuduhan kedua hingga keenam pula menyebut, bapa kepada lima anak itu didakwa menerima suapan berjumlah RM64,000 daripada pemilik syarikat Berkat Zairul Enterprise, Rusli Abdullah sebagai upah mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 40 tan metrik daripada kementerian sama pada September, Oktober, November dan Disember 2013.

Dia yang menerima RM12,800 bagi setiap pertuduhan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 11 September 2013 dan 7 Januari 2014 di Bank Islam Cawangan Guar Chempedak, Gurun.

Keenam-enam pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE