Tertuduh, Siti Hassan, 65, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib. 

Berdasarkan pertuduhan, Siti didakwa menyebabkan kecuaian hingga mengakibatkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun 10 bulan.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pangsapuri Kos Rendah di Bandar Tasik Selatan, di sini, pada jam 2 petang, 15 Oktober lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Jika disabit kesalahan, tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrim Zaharinan bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan serius. 

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar  mahkamah mengenakan kadar jaminan rendah atas alasan menghidap kencing manis dan darah tinggi. 

Mahyon kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 29 Mac ini bagi sebutan kes semula tersebut. - UTUSAN ONLINE