Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap J. Alan Rajendram, 62, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah pada akhir kes pembelaan.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan ia berjalan secara serentak bermula 23 Mac 2018.

“Pada tarikh tersebut tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun atas kesalahan memberi kenyataan palsu kepada Bursa Saham Malaysia (BSM),” kata Hasbullah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Alan Rajendram didakwa sebagai pengarah LFE Corporation Bhd. dan LFE International Limited yang telah diamanahkan dengan penguasaan wang syarikat berjumlah RM18.9 juta telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas wang tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bank Standard Chartered Bhd., Jalan Ampang di sini antara 4 dan 11 Januari 2007.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Aimi Khalidah Mohd. Puzi manakala tertuduh diwakili peguam, Harvinderjit Singh. - UTUSAN ONLINE