Datuk Yap Yee Hoo, 62, daripada syarikat Royal Gold Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima deposit haram di Mahkamah Sesyen dan sembilan pertuduhan menyalahgunakan harta di Mahkamah Majistret.

Di hadapan Hakim Azrul Darus, Yee Hoo didakwa menerima deposit wang berjumlah keseluruhan RM553,200 daripada Tan Kim Seng, 62, dan Siow Geok Meng, 55, tanpa lesen yang sah di CIMB Bank Pandan Indah, Jalan Pandan Indah dekat sini antara 30 April dan 9 Oktober 2014.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penja­ra maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya.

Sementara itu, di hadapan Majistret Haslinda A. Raof dan Majistret Firdaus Sadina Ali, Yee Hoo didakwa atas sembilan pertuduhan dengan curangnya menyalahgunakan harta secara tidak jujur milik Kim Seng iaitu wang sebanyak RM337,200 dan RM216,000 kepunyaan Geok Meng untuk pembayaran pelaburan emas di bawah syarikat Royal Gold.


Kesemua sembilan pertuduhan itu didakwa dilakukan tertuduh di CIMB Bank dan Public Bank, Pandan Indah dekat sini antara 13 Januari dan 9 Oktober 2014.

Bagi pertuduhan tersebut, Yee Hoo didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda.


Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM83,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan serta 5 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy dan Raihanah Abdul Razak sementara tertuduh diwakili peguam T.L. Chen. - UTUSAN ONLINE