Ismail Che Ros, 59, yang kini bertugas di JKR Melaka, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di sebuah bilik di hotel bertaraf lima bintang, Sutera Harbour Resort di sini antara 5 dan 7 Ogos 2015.

Mengikut pertuduhan pertama, Ismail didakwa menerima barang berharga tanpa balasan iaitu penginapan mewah dan pakej bermain golf bernilai RM2,880.90 di hotel tersebut daripada kontraktor berkenaan yang juga pengurus projek, Teoh Hon Chun antara 5 dan 7 Ogos 2015.

Bagi pertuduhan kedua, pada 6 Ogos 2015, Ismail didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada Hon Chun tanpa balasan walaupun mengetahui syarikat milik kontraktor itu mempunyai kaitan dengan tugas rasminya membabitkan projek pembinaan jalan pintas Kampung Gersik, Labuan.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rozanna Abd. Hadi mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan Ismail yang diwakili peguam Zahir Shah, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin dan diperintah menyerah­kan pasport kepada mahkamah dan melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM.

Mahkamah menetapkan 17 Julai ini sebutan semula kes dan penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan dan pembelaan.

Pada 22 November tahun lalu, Ismail ditahan SPRM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) SPRM 2009 berhubung penyelewengan membabitkan projek bernilai RM48 juta di Labuan.