Hakim Azura Alwi memutuskan demikian terhadap S. Tselvin, 61, selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati keterangan tertuduh adalah konsisten dari awal dan bukannya bersifat penafian semata-mata atau bukanlah yang difikirkan semula. Mahkamah juga mendapati tertuduh tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap syarikat Fort Mark Sdn. Bhd., walaupun syarikat itu milik anaknya,” katanya.


Ketika keputusan dibacakan, Tselvin yang memakai pakaian sut Punjabi berwarna kuning kelihatan menangis teresak-esak di kandang tertuduh sambil meraup mukanya tanda bersyukur dengan keputusan tersebut.

Tselvin yang diwakili peguam S. Devanandan dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut pada 24 Julai 2015.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila mengambil tindakan sehingga syarikat Fort Mark dipilih untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan Portal Nursing di bahagian kejururawatan kementerian dengan harga RM12,300 sedangkan dia mempunyai kepentingan kepada pengarah syarikat tersebut yang juga anaknya, R. Pravin walaupun pada ketika itu syarikat berkenaan masih belum ditubuhkan.


Wanita itu yang bersara wajib pada 28 Ogos tahun lalu didakwa melakukan kesalahan tersebut di bahagian Kejururawatan Kementerian Kesihatan, Putrajaya antara 13 dan 15 Oktober 2014.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Seramai 21 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh telah dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 21 April 2016.