Ia berikutan Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Sundra Rajoo untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman tersebut.

Hakim Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas mendapati mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut.

Sundra Rajoo memohon perisytiharan bahawa beliau berhak untuk mendapatkan imuniti daripada sebarang pendakwaan sepanjang tempoh perkhidmatan atas kapasiti rasminya.

Hakim Nordin dalam keputusannya berkata, mahkamah tidak boleh menghalang Peguam Negara daripada melakukan sebarang pendakwaan terhadap mana-mana individu dalam kes jenayah.

"Pada pandangan saya, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohon ini dan ia tidak boleh diperdebatkan untuk semakan kehakiman.

Sehubungan itu, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman ini ditolak tanpa perintah berhubung kos," katanya.

Dalam prosiding hari ini, Sundra Rajoo diwakili peguam K. Shanmuga manakala responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy.

Sundra Rajoo selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran itu pada 4 Mac lalu dengan menamakan Menteri Luar, Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonan itu, Sundra Rajoo memohon perintah untuk menghalang Peguam Negara daripada mengemukakan pendakwaan atau prosiding dalam mana-mana mahkamah di negara ini terhadap beliau berhubung tindakan dan apa yang dilaksanakan olehnya dalam kapasiti rasmi beliau sebagai pengarah AIAC.

Pemohon juga memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai imuniti sebagai pengarah AIAC berhubung sebarang tindakan yang diambil dalam kapasiti rasminya.

Turut dipohon adalah perintah bagi menghalang SPRM daripada menangkap, menahan dan mengeluarkan waran atau membawa sebarang prosiding kehakiman terhadapnya. - UTUSAN ONLINE.