Abdullah Sani Ismail, 62, didakwa me­lakukan kesemua kesalahan tersebut di syarikat Herba Prima Marketing di Lot 70, Bandar Darulaman Jaya, Jitra dekat sini antara September 2014 dan 8 Julai 2016.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Sani selaku penasihat peribadi dan kewangan di syarikat Herba Prima Marketing didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang sewaan bangunan beralamat No. 22, Jalan Bayu Mutiara 1, Taman Bayu Mutiara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang milik Che Rozmey, masing-masing berjumlah RM97,000, RM88,000 dan RM61,600.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd. Nor yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM16,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam, Badrul Hisham yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guam­nya yang mempunyai sembilan anak memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan, selain kini sudah tidak bekerja.

Hakim Zulhazmi Abdullah kemudian membenarkan Abdullah Sani diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan menyerahkan dokumen perjalanan sementara menunggu sebutan semula kes pada 8 Mac ini.