Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Hardi Jaafar, 38, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu ke atas Mishran Jagat Bandhu, 31, di tepi pondok pengawal Prisma Cheras Kondominium, Cheras, di sini, kira-kira pukul 5.05 petang, 31 Julai 2016.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd. Halim mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Mohamad Hardi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana perlu menanggung keluarga selain menyesal akan perbuatannya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh bersama rakannya yang menaiki sebuah kenderaan ingin masuk ke kondomi­nium tersebut.

Tertuduh turut memberitahu penga­wal keselamatan ba­hawa dia terlupa membawa kad akses kerana tertinggal di rumah dan meminta mangsa membuka palang pagar tersebut.

Namun mangsa enggan menurutinya menyebabkan tertuduh naik berang lalu mencederakan mangsa sehingga pengawal kese­lamatan itu mengalami luka di bibir.

Mohammad Hardi yang juga bekas pemain Selangor itu dibebaskan setelah membayar denda tersebut.