Mohamad Al-Faroq Mustapah, 32, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh tiga jurubahasa di hadapan tiga hakim iaitu Tasnim Abu Bakar, Emilia Kaswati Mohamad Khalid dan Darmafikri Abu Adam.

         

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohamad Al-Faruq yang ketika itu bertugas sebagai pembantu di bahagian alat ganti didakwa mengakses sistem 'VSS Service Appointment' milik Perodua untuk membuat temu janji servis kenderaan dengan niat curang untuk mengakibatkan kerugian kepada syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pusat Servis Perodua di Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan di sini antara 15 Ogos 2013 sehingga Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM150,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, difahamkan tertuduh menyeleweng sistem inventori syarikat untuk membuat temu janji palsu bagi servis kereta melibatkan pesanan pembelian minyak enjin dan alat ganti kenderaan.

Namun kira-kira 400 transaksi yang dibuatnya dalam tempoh itu telah dibatalkan secara tidak sah walaupun sudah direkodkan ke dalam akaun syarikat dan barangan itu tidak dipulangkan semula sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan RM2.64 juta.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Yahya, Mahmoodah Abdul Latiff dan S. Nithtia yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh kerana menyifatkan kesalahan itu sebagai serius dan melibatkan kerugian besar.

Peguam Mohd. Shukri Mohd. Ahmad Mansor yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana telah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan polis sejak November tahun lalu.

“Anak guam saya juga kini menghadapi masalah kewangan dan perlu menyara tiga anak yang masih kecil serta ayahnya juga orang kurang upaya (OKU).

“Dia kini hanya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan RM1,300 sebulan dan semua hartanya disita mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM130,000 dengan penjamin berbeza selain diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan selain sebutan semula kes ditetapkan pada 5 April ini.