Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin memerintahkan Saidatul Karimah Nasron, 38, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Pada 26 Mac lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah ke atas wang tunai hasil jualan rumah milik seorang pengarah syarikat pembinaan, Junainah Yusof, 60, di Hulu Klang.

Tertuduh yang ketika kejadian bertugas di firma guaman, Tetuan Saida Karima & Co., didakwa melakukan perbuatan tersebut di firma berkenaan di Jalan Wangsa Delima 11, D’Wangsa Link, Pusat Bandar Wangsa Maju di sini pada 9 Oktober 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Khairul Aiman Yusoff Looi memohon anak guamnya dihukum penjara bermula tarikh tangkap pada 24 Mac lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne pula memohon hukuman penjara bermula hari ini sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peguam-peguam yang lain.

Ketika prosiding, suasana pilu menyelubungi galeri awam apabila hakim membenarkan tertuduh mendukung anak bongsunya yang masih kecil dengan tangannya yang bergari.

Tertuduh tersenyum memandang ke arah anaknya dari kandang sambil mengesat air matanya.

Kelihatan beberapa ahli keluarga yang hadir turut menangis dan memeluk tertuduh. - UTUSAN ONLINE